Salam semua..
Sudahkah anda membaca berita kematian 2 pelajar UPSI yang kemalangan pada awal pagi semalam ( 11 Jan 2010 )? Saya mendapat berita ini 2 kali daripada kawan saya. Pertamanya hanya menceritakan berita berkaitan kemalangan yang melibatkan 2 orang pelajar lelaki. Waktu itu, tak la terperanjat sangat kerana sudah biasa mendengar kes kemalangan di Upsi, cuma jaranglah yang melibatkan kematian.
Tetapi pada hari ini, rakan rumah sewa saya(Al Hafis) sms pada saya,
Al Hafis : “Salam..Ko dah tahu yang fadhiri(sem 8 – math) dan kawan dia (faizol – Sem 6) dah meninggal semalam? “
Saya : “Fadhiri?..Budak yang selalu pakai kot hitam dan duduk di kolej ungku omar tu?”
Al Hafis : “Ya..kot hitam, dia duduk KUO..dia excident bersama kawannya kat traffic light( kuil ) tu dengan lori pukul 5 pagi semalam..Masuk Harian Metro hari ni”
Inna lilah wa inna ilayhi roji’uun..
Saya tak tahu nak cakap macam mana.. Terkejut sangat kerana saya kenal dengan arwah tersebut. Pernah sekali saya sama kelas dengannya dan sama kumpulan untuk buat tugasan. Arwah sangat baik..Selalu nampak beliau dengan motornya dan pasti bertegur sapa apabila berselisih. Tapi sesungguhnya Allah SWT sangat mengasihinya. Beliau “pergi” dahulu sebelum kita.
Sesungguhnya…setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sudahkah kita bersedia menghadapinya? Ianya PASTI akan datang tanpa kita sendiri mengetahuinya. Wahai pembaca sekalian, sama-samalah kita hadiahkan Al Fatihah buat beliau dan kawannya semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Al Fatihah…
Sekiranya anda ingin mengetahui berita lanjut tentang kemalangan tersebut, sila baca berita di bawah yer..
TANJUNG MALIM: “Arwah ceria dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika dia pulang bercuti ke kampung pada pertengahan Disember lalu,” Rokiah, ibu Mohd Fadhiri Mohamad Ariffin, 23, seorang daripada dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dekat sini, yang terbunuh apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi semalam, berkata dia reda dengan pemergian anak kelima daripada sembilan beradik itu. Turut terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 126, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur itu ialah rakan baik arwah, Mohd Faizol Abdul Syukor, 25. Menurut Rokiah, arwah baru saja menamatkan pengajiannya di UPSI baru-baru ini dan dijadualkan menjalani praktikal di Sekolah Menengah Methodist di sini, bermula 18 Januari ini.
“Saya terkilan kerana cita-cita arwah menjadi guru tidak kesampaian. Ketika kali terakhir bertemunya di kampung di Tanah Merah, Kelantan, arwah juga tidak sabar menunggu Mei ini kerana abangnya berjanji akan membawa kami sekeluarga melancong ke Singapura. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku dan anggap ia sebagai takdir,” katanya sebak.
Rokiah ditemui ketika menuntut jenazah anaknya di bilik mayat Hospital Teluk Intan (HTI) selepas dibedah siasat. Jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah, Kelantan selepas disembahyangkan di surau HTI.
Berikut adalah wajah arwah :
| Name | Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin | ||
| - | |||
| Group | Student | ||
| Semester | 8 | ||
| Faculty | Fakulti Sains & Teknologi | ||
| Program | AT14 – Matematik | ||
| Level of Study | DEGREE – Ijazah Sarjana Muda Pendidikan | ||
| College | Kolej Ungku Omar |
Kronologi kemalangan tersebut :
4.30 pagi – Arwah Faizol bersama 5 orang rakan ke KTM Tanjong Malim untuk menjemput rakan-rakan yang lain. Namun, arwah Faizol tiba agak lewat berbanding rakan-rakan yang lain dengan menaiki motosikal Kriss milik rakan sebilik di KUO.
5.00 pagi – Kemalangan melibatkan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa. Motosikal mangsa bertembung dengan lori kiriman barangan ekspress yang datang dari arah Rawang untuk ke Pulau Pinang.
5.15 pagi – Ambulans dari Klinik Kesihatan Tanjong Malim tiba. Arwah Faizol disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala arwah Fadhiri dibawa menaiki ambulans untuk ke klinik kesihatan Tanjong Malim.
5.20 pagi – Polis tiba untuk mengawal lalu lintas. Orang ramai telah mulai mengerumuni tempat kejadian.
5.45 pagi – Arwah Fadhiri dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Ahli keluarga kedua-dua mangsa dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku. Arwah masih dalam keadaan sedar dan hanya mampu menyebut, “Allah…Allah…Allah…”
6.15 pagi – Pegawai Penyiasat Polis Trafik IPD Slim River tiba di tempat kejadian untuk membuat siasatan.
6.30 pagi – Mayat arwah Faizol di bawa menaiki Land Rover PDRM ke Hospital Slim River untuk dibuat bedah siasat.
7.00 pagi – Pegawai Perubatan memaklumkan arwah Fadhiri perlu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah segera kerana mengalami kecederaan dalaman yang serius.
7.15 pagi – Pegawai HEP dan Felo Kolej Ungku Omar (KUO) tiba di Hospital Slim River.
7.30 pagi – Arwah Fadhiri dibawa ke Hospital Teluk Intan.
9.00 pagi – Arwah Fadhiri sudah tidak sedarkan diri. Arwah sudah mula berhenti bernafas dan otaknya sudah tidak berfungsi dan hanya jantung sahaja yang masih berfungsi. Pegawai Perubatan hospital berusaha keras untuk menyelamatkannya.
10.30 pagi – Pegawai Perubatan memaklumkan kepada rakan-rakan yang hadir bahawa arwah sudah meninggal dunia. Di Hospital Slim, arwah Faizol menerima kunjungan dari segenap lapisan masyarakat. Ahli keluarga arwah Faizol tiba untuk pengesahan mayat. Persediaan untuk memandi dan mengkafankan arwah Faizol dilakukan.
11.00 pagi – Abang sulung arwah Fadhiri, saudara Khairul yang datang dari Kuala Lipis tiba di Hospital Teluk Intan dan dimaklumkan mengenai kematian arwah. Keluarganya yang lain masih berada di Grik.
1.30 petang – Ayah dan ibu arwah Fadhiri tiba di bilik mayat. Persediaan untuk memandi dan mengkafankan jenazah dilakukan. Di Surau Al-Falah, arwah Faizol tiba untuk disolatkan.
2.30 petang – Arwah Faizol di bawa menaiki van jenazah Hospital Slim untuk dibawa ke Pasir Mas, Kelantan.
3.30 petang – Arwah Fadhiri disolatkan di surau Hospital Teluk Intan.
4.00 petang – Arwah Fadhiri dibawa menaiki van jenazah UPSI untuk dibawa ke Tanah Merah, Kelantan.
8.30 malam – Jenazah arwah Faizol tiba di kediamannya.
10.30 malam – Jenazah Fadhiri tiba di kediamannya manakala Jenazah Faizol telah selamat dikebumikan. Keluarga arwah Fadhiri masih menunggu seorang lagi abangnya yang dalam perjalanan dari Sarawak.
1.00 pagi – Arwah Fadhiri disolatkan. Hadirin yang datang untuk bersolat melimpahi hingga ke luar rumah.
1.30 pagi – Jenazah Fadhiri selamat dikebumikan.
Sumber : UPSIKINI
Related posts:







Comments